Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

UiTM Johor Perkasa Teknologi Komuniti Menerusi Projek Capstone

By 19 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

PASIR GUDANG, 19 Jan (MalaysiaAktif) – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang memperkasakan sinergi universiti-komuniti menerusi pelaksanaan Projek Capstone (ETE 645) yang memfokuskan kepada penyelesaian masalah berasaskan teknologi dan inovasi.

Koordinator Prasiswazah UiTM Kampus Pasir Gudang Prof. Madya Mohamad Zhafran Hussin berkata inisiatif melibatkan 25 pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik UiTM Kampus Pasir Gudang itu sebagai platform mengaplikasikan ilmu kejuruteraan secara praktikal melalui kajian lapangan bagi menangani isu di sekolah dan komuniti setempat.

Prof. Madya Mohamad Zhafran Hussin, berkata inisiatif itu menjadi platform mahasiswa mengaplikasikan ilmu kejuruteraan menerusi kajian lapangan.

“Lima kumpulan pelajar telah dibentuk untuk mengenal pasti masalah spesifik yang dihadapi komuniti Taman Mawar dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Pasir Gudang sebelum mencadangkan penyelesaian inovatif.

“Harapan kita agar kolaborasi dua hala ini berterusan supaya institusi pengajian tinggi dan komuniti dapat saling melengkapi, sekaligus memupuk semangat perkongsian pengetahuan yang interaktif,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Kolaborasi Komuniti Projek Capstone, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Kebun Komuniti Wanita Taman Mawar Fasa 5 Normah Kassim menyifatkan pengenalan teknologi Internet of Things (IoT) berkuasa solar dalam penanaman jagung sebagai satu anjakan paradigma buat pengusaha kebun bandar.

“Sistem automasi ini membolehkan pemantauan dan penyiraman secara dalam talian melalui telefon pintar, sekali gus menjimatkan tenaga buruh serta menyokong kelestarian rendah karbon melalui penggunaan solar dan tadahan air hujan,” jelasnya.

Sistem automasi kawalan telefon pintar oleh pelajar UiTM mampu jimatkan tenaga buruh serta mesra alam.

Selain sektor pertanian, projek ini turut memberi impak positif kepada sektor pendidikan melalui pembangunan sistem pengurusan kehadiran dan alat bantuan mengajar moden.

Guru Besar SRITI Pasir Gudang Mohamad Syazuwan Mahayudin berkata sistem ‘FACES’ yang dibangunkan pelajar UiTM sangat membantu guru dalam merekod kehadiran murid dengan pantas serta meningkatkan aspek keselamatan sekolah.

“Bagi program ‘META’ pula, ia memberi dimensi baharu pembelajaran dengan pendekatan santai dan interaktif berasaskan gamifikasi, menjadikan murid lebih seronok tanpa hanya bergantung kepada buku teks,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Zon Mawar Mohd Hasim Hamid dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mawar Fasa 5 Nasharuddin Abdul Rahman.

-RI

Tinggalkan komen anda