
Laporan/foto: Mohd Suhaidi (Kelantan)
PASIR MAS, 19 Jan (MalaysiaAktif) – Penubuhan badan sukarelawan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) merupakan platform memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan keselematan di samping memajukan ekonomi masyarakat.

Antara yang hadir.
Pegawai Perpaduan Daerah Tumpat/Pasir Mas Mohd Zulkarny Salleh berkata pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti menerusi KRT dapat mengeratkan hubungan antara penduduk setempat.
“Banyak aktiviti kemasyarakatan dianjurkan bagi mengeratkan perpaduan dan hubungan antara penduduk setempat, terutama dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Selain itu, kerajaan turut menyalurkan pelbagai bantuan dan insentif bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Silaturahim Jalinan Penduduk di Masjid Mahmudi, Kangkong anjuran Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Pasir Mas, KRT Kangkong serta Jawatankuasa Masjid Mahmudi Kangkong, di sini kelmarin.

Seorang peserta Mohd Asri Awang sedang bertanya mengenai peranan KRT kepada Mohd Zukarny.
Pada majlis sama, turut diadakan pemilihan Jawatankuasa KRT Kangkong bagi sesi 2026/2027.
Pengerusi KRT yang baharu dilantik, Kamarudin Abd Razak, 60, berkata penubuhan KRT dapat menyatukan masyarakat ke arah perpaduan yang lebih erat.
“Pelantikan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab, malah kerjasama serta komitmen semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan setiap program yang dirancang,” katanya.
Ketua Jiran Wanita, Hasnah Wahab, 63, berkata kewujudan KRT membolehkan masyarakat setempat bergerak aktif melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan sokongan semua pihak.
-RI





