Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

SUK Kedah Sampaikan Amanat 2026, Lancar Aplikasi Go Pendang Perkasa Perkhidmatan Digital

By 20 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 20 Jan (MalaysiaAktif) – Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Seri Norizan Khazali menegaskan bahawa setiap penjawat awam perlu mengamalkan nilai integriti, amanah serta menepati masa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, berkesan dan berfokuskan rakyat.

Beliau turut menekankan bahawa budaya kerja berdisiplin dan beretika merupakan teras utama dalam memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap sektor awam.

Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman yang berlangsung di Dewan Cenderawasih

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 300 penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan agensi yang menghadiri Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman bersama Penjawat Awam Daerah Pendang di Dewan Cenderawasih, Majlis Daerah Pendang, di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau menyempurnakan pelancaran aplikasi Go Pendang, satu inisiatif digital ke arah merealisasikan agenda Kedah Cashless selaras dengan peralihan kepada sistem digital sebagai norma baharu dalam kalangan masyarakat.

Melalui aplikasi tersebut, orang ramai dapat melaksanakan pelbagai urusan pembayaran secara atas talian termasuk bayaran cukai pintu, sewaan premis, lesen perniagaan dan kompaun, sekali gus memudahkan interaksi antara masyarakat dan pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, aplikasi Go Pendang turut memaparkan maklumat berkaitan sektor pelancongan, lokasi tempat bersejarah serta destinasi makanan popular di sekitar daerah Pendang bagi mempromosikan potensi ekonomi dan pelancongan tempatan.

Norizan beramah mesra bersama penjawat awam yang hadir

Pelancaran aplikasi ini dijangka mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan, mempercepat urusan harian masyarakat serta menyokong agenda pendigitalan negeri ke arah tadbir urus yang lebih moden, telus dan mesra rakyat.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Dato’ Mohd Sheriff selaku tuan rumah dalam ucapan alu-aluannya berharap semua penjawat awam yang hadir dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap amanat yang disampaikan serta mengaplikasikannya dalam pelaksanaan tugas seharian.

“Diharapkan segala panduan dan hala tuju yang dikongsi hari ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda