
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Facebook Aznan Tamin
ISKANDAR PUTERI, 21 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor menyambut baik pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin berkata pelan pendidikan yang diperkenalkan itu selari dengan keperluan sebenar dalam bilik darjah serta aspirasi guru, ibu bapa dan murid yang menginginkan sistem pendidikan yang lebih menyokong dan membimbing.
“Pengenalan Pengukuran Pembelajaran bagi murid Tahun Empat bermula 2026 dan Tingkatan Tiga pada 2027 bagi subjek teras merupakan langkah positif dalam mengenal pasti tahap penguasaan murid lebih awal.
“Melalui pendekatan ini, kelemahan murid dapat dikenal pasti dan dibantu segera, sekali gus memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya pendekatan berkenaan turut selari dengan pelaksanaan inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang melaksanakan Pentaksiran Kompetensi Murid setara bertaraf antarabangsa, membuktikan komitmen kerajaan negeri Johor dalam melahirkan murid berdaya saing di peringkat global tanpa mengabaikan konteks tempatan.
Dalam pada itu, Aznan turut menyambut baik peruntukan RM100 juta yang diumumkan kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf dan membaik pulih bilik guru di seluruh negara.
Beliau memaklumkan bahawa di Johor, usaha menaik taraf bilik guru telah dilaksanakan secara konsisten sejak 2023 dan akan diteruskan sehingga tahun ini dengan peruntukan RM5,000 bagi setiap bilik guru, melibatkan 1,195 buah sekolah sebagai penghargaan kepada peranan penting warga pendidik.
Selain itu, beliau turut menyokong usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pendigitalan serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di politeknik dan kolej komuniti.
“Inisiatif ini selari dengan peranan Johor Talent Development Council (JTDC) dalam melahirkan tenaga mahir tempatan yang memenuhi keperluan industri semasa, sekali gus menyokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya.
-AA-





