
Laporan/foto: Syed Mohd Adib (Muar)
MUAR, 21 Jan (MalaysiaAktif) – Kira-kira 200 penjawat awam persekutuan dan negeri di daerah ini diseru untuk memperkukuh komitmen bagi merealisasikan aspirasi Negeri Maju 2030 melalui amalan kerja yang telus dan berintegriti.

Zainal ketika berucap merasmikan Majlis Amanat Pegawai Daerah Muar
Pegawai Daerah Muar Zainal Eran berkata pencapaian kutipan hasil Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2025 yang mencecah RM2.676 bilion atau 134 peratus merupakan prestasi terbaik yang pernah direkodkan.
“Kejayaan ini membolehkan pelbagai bentuk bantuan disalurkan, termasuk bantuan khas kewangan kepada anggota perkhidmatan awam persekutuan yang berkhidmat di negeri ini sebagai menghargai sumbangan mereka.
“Memasuki tahun 2026, Johor kini berada pada fasa kritikal menghampiri status negeri maju. Justeru, setiap institusi kerajaan sama ada di peringkat persekutuan, negeri mahupun badan berkanun mestilah menyambut baik dan melaksanakan agenda aspirasi kerajaan secara holistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Amanat Pegawai Daerah Muar di Hab Kesihatan (Wellness Hub) Bakri, di sini hari ini.

Zainal turut mencuba peralatan yang terdapat di fasiliti Hab Kesihatan Muar yang telah mula beroperasi sepenuhnya sejak Oktober 2025.
Pada majlis sama, turut diadakan perasmian Hab Kesihatan Muar yang telah mula beroperasi sepenuhnya sejak Oktober tahun lepas.
Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr. Rosila Yahaya, menjelaskan bahawa fasiliti tersebut merupakan pusat sehenti yang menawarkan perkhidmatan kesejahteraan dan kesihatan bersepadu secara percuma kepada komuniti setempat.
“Hab ini beroperasi setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dan terima kasih kepada Pejabat Daerah Muar kerana memilih lokasi ini sekali gus membantu mempromosikan perkhidmatan kami kepada warga penjawat awam dan penduduk,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman, Pentadbir Tanah Muar Mohd Hisam Said dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM) Norrizam Muhamad.
-AA-





