Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penerima STR Fasa 1 Bersyukur, Bantuan Ringankan Keperluan Harian

By 21 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)/STR.my

KOTA KINABALU, 21 Jan (MalaysiaAktif) – Penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 2026 bermula semalam disambut baik penerima dengan bantuan tersebut disifatkan mampu meringankan beban perbelanjaan harian.

Tinjauan Malaysia Aktif mendapati penerima menggunakan bantuan itu untuk memenuhi keperluan dapur dan perbelanjaan asas isi rumah selain membantu mengurangkan kos sara hidup semasa.

Rosnah menyifatkan Bantuan STR Fasa 1 sebagai bantuan yang meringankan beban perbelanjaan dapur keluarganya.

Seorang penerima, Rosnah Yusuf, 61, dari Putatan berkata bantuan STR membantu menampung perbelanjaan dapur harian.

“Dengan bantuan ini, saya dapat merancang perbelanjaan dapur dengan lebih baik selain memenuhi beberapa keperluan lain di rumah. Saya bersyukur kerana bantuan ini diteruskan pada tahun ini, sekali gus memberi kelegaan kepada kami, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan tersebut,” katanya ketika ditemui di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) Penampang Mall di sini, Selasa.

Sementara itu, Angeline Jikiwin, 42, dari Penampang, menyifatkan STR sebagai inisiatif positif kerajaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Bantuan yang diberikan ini banyak membantu saya dan keluarga dalam membeli barangan dapur serta menampung keperluan harian lain. Saya berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan ini, serta berharap bantuan ini diteruskan dan nilainya ditambah pada tahun akan datang,” ujarnya.

Muhammad Rozen memanfaatkan bantuan STR untuk keperluan harian dan turut membantu adik-adiknya.

Bagi Muhammad Rozen Abdullah, 25, STR memberi kelegaan kepada keluarganya khususnya dalam mengurus perbelanjaan harian dan tanggungjawab terhadap adik-adiknya.

“Bantuan ini membantu saya menampung keperluan harian dan pada masa sama membolehkan saya membantu adik-adik. Ia sedikit sebanyak meringankan beban keluarga. Saya berharap program bantuan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk terus membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda