Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

Enam Pulau di Mersing Kekal Ditutup Sementara untuk Pemuliharaan Biodiversiti Marin

By 22 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Mohd Hanif Ahmad (Mersing)

MERSING, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Arahan penghentian semua aktiviti selam skuba, snorkel dan lawatan ke enam pulau di perairan sekitar daerah ini kekal berkuat kuasa bagi memberi laluan kepada kerja pemuliharaan biodiversiti marin serta alam sekitar.

Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah berkata penutupan itu membabitkan Pulau Harimau, Pulau Gual, Pulau Mensirip, Pulau Mertang Timur, Pulau Mertang Barat dan Pulau Mertang Tengah.

Menurutnya, semua pengusaha resort, chalet, bot pelancong, aktiviti keliling pulau (island hopping) serta pusat selam skuba diminta menghentikan sebarang aktiviti berkaitan di kawasan terbabit sejak September lalu.

“Keputusan tersebut selaras dengan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan titah agar khazanah alam sekitar, khususnya kepulauan di Mersing, dipelihara untuk generasi akan datang.

“Bagaimanapun, 355 pengusaha bot pelancongan dan pengangkutan, pengusaha resort serta pengunjung tidak perlu khuatir kerana kepulauan lain seperti Pulau Besar, Pulau Rawa, Pulau Tengah, Pulau Tinggi dan lain-lain masih dibuka untuk aktiviti bersesuaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Pegawai Daerah Mersing bagi tahun 2026 di Dewan Jubli Sultan Ibrahim, di sini kelmarin.

Beliau turut memaklumkan pihak berkuasa akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar arahan tersebut.

“Saya gesa semua pihak mematuhi arahan berkenaan bagi menjamin kelestarian alam semula jadi di kawasan terbabit,” katanya.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing TPr. Abdul Karim Bakar.

-RI

Tinggalkan komen anda