Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

580 Peserta Meriahkan Kejohanan Merentas Desa MSSD Pendang

By 22 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)

PENDANG, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 580 orang peserta daripada 52 buah sekolah menyertai Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pendang yang berlangsung di Pusat Kokurikulum Daerah Pendang, Felda Sungai Tiang, di sini semalam.

Bertujuan melahirkan murid yang sihat, cergas dan berdaya saing melalui penglibatan aktif dalam sukan, kejohanan tahunan itu melibatkan penyertaan 38 sekolah rendah dan 14 sekolah menengah sekitar daerah Pendang dengan laluan larian mengelilingi kawasan Felda Sungai Tiang.

Mohamad Azran (tengah) dalam majlis penutup dan penyampaian hadiah

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pendang, Sektor Perancangan, Ahmad Zamberi Ahmad.

Menurut Penolong PPD Pendang, Sektor Pembangunan Bakat Murid Muhammad Zahir Muhammad penganjuran kejohanan tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan tahap kecergasan murid, malah membentuk sahsiah dan daya tahan diri.

“Selain melahirkan murid yang sihat dan cergas, kejohanan ini turut menjadi platform untuk memupuk nilai disiplin serta daya tahan diri dalam kalangan murid ketika berhadapan dengan cabaran fizikal,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.

Sebahagian peserta yang hadir menjayakan Kejohanan Merentas Desa MSSD Pendang 2026

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan PPD Pendang Sektor Pembangunan Murid Mohamad Azran Abdul Wahab yang menzahirkan penghargaan kepada semua urus setia, guru serta agensi kerajaan lain yang terlibat dalam menjayakan kejohanan berkenaan.

“Penglibatan semua pihak amat membantu dalam memastikan kejohanan ini berjalan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut berharap agar penganjuran kejohanan seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa bagi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Penganjuran kejohanan ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan pihak pendidikan daerah dalam memperkukuh budaya sukan serta membentuk generasi murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan sahsiah.

-AA-

Tinggalkan komen anda