
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Perling Ku (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Beberapa pekerja dan pelanggan berdepan detik cemas apabila sebuah restoran di Jalan Persisiran Perling 1, Taman Perling, di sini terbakar secara tiba-tiba sehingga mengakibatkan bangunan restoran berkenaan musnah hampir sepenuhnya atau kira-kira 95 peratus.

Pihak bomba akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mencari punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kebakaran restoran berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata kejadian berlaku ketika premis sedang beroperasi dan mangsa yang berada di dalam kedai berjaya menyelamatkan diri.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.35 pagi dan bergegas ke lokasi kebakaran dengan kekuatan anggota seramai 21 orang dan tiga jentera masing-masing daripada Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dan Kempas.
“Setibanya di lokasi, kepulan asap dan api marak dan operasi pemadaman selesai pada jam 12:12 tengah hari dan menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 1:40 tengah hari,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Operasi pemadaman kebakaran oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dan Kempas di bangunan restoran berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya
Tambahnya lagi, kebakaran itu turut menjejaskan lima premis perniagaan lain yang berdekatan dengan restoran berkenaan termasuk sebuah pejabat guaman dan kedai serbaneka, dengan anggaran kemusnahan hampir 30 peratus.
Semalam, tular video memaparkan kebakaran restoran berkenaan di media sosial dan penduduk Taman Perling berkongsi rasa terkejut dengan kejadian berlaku.
-AA-





