
Laporan/foto: Mohammad Hafizee (Kuala Lumpur)/Jabatan Wilayah Persekutuan
KUALA LUMPUR, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh sedia bekerjasama dengan semua komuniti dan pihak berkepentingan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Saya komited untuk meneruskan pendekatan libat urus yang bermakna melalui perbincangan berterusan, sesi konsultasi dan kerjasama dengan komuniti setempat serta pihak berkepentingan,” katanya.

Hannah komited libat urus yang bermakna.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama Save Kuala Lumpur (Save KL) dan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) yang mewakili lebih 80 persatuan penduduk di sekitar Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Pertemuan tersebut memberi ruang kepada wakil penduduk berkongsi pandangan dan cadangan berkaitan isu di kawasan masing-masing, khususnya melibatkan kualiti hidup dan masalah banjir.
Antara fokus utama perbincangan ialah isu mitigasi banjir termasuk perlindungan dan pemeliharaan kolam takungan yang memainkan peranan penting dalam pengurusan banjir di Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi wakil-wakil persatuan telah berkongsi pandangan serta maklum balas berhubung usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk Kuala Lumpur.

Sesi bergambar bersama wakil persatuan.
Hannah turut berkongsi keutamaan dalam memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan banjir serta memastikan amalan tadbir urus yang baik serta penglibatan para profesional dan pakar dalam kalangan mereka untuk menyumbangkan pandangan bagi menyokong perancangan dan pelaksanaan yang berkesan.
“Prinsip pentadbiran saya adalah untuk mentadbir bersama rakyat. Pandangan yang dikemukakan oleh persatuan penduduk merupakan input penting dalam membentuk keputusan dan tadbir urus bandar.
“Semua maklum balas akan diteliti dengan cermat bagi memastikan setiap tindakan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada penduduk. Input ini juga akan menjadi panduan dalam menetapkan keutamaan tadbir urus bandar pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan Kuala Lumpur dengan menumpukan kepada kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat.
-RI





