
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin (Tawau)
KINABATANGAN, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) di Kinabatangan menjadi pemangkin pemerkasaan usahawan tempatan dan golongan B40 melalui peluasan akses pasaran serta penjimatan kos barangan keperluan apabila dilaksanakan di sini, Rabu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Muhammad Alamin berkata, pelaksanaan JMKU kali ini menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus selain membuka ruang pemasaran produk kepada koperasi dan perusahaan kecil.
Menurutnya, kerajaan komited memperluas pelaksanaan JMKU di seluruh Sabah selepas 28 siri jualan berjaya dilaksanakan tahun lalu, dengan jumlah penjimatan melebihi RM1 juta dikembalikan kepada rakyat.

Muhammad Alamin ditemui pemberita sempena Program JMKU di Kinabatangan yang bertujuan memperkasa usahawan tempatan serta meningkatkan akses rakyat kepada barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“JMKU yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bukan sahaja membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah, malah memberi peluang kepada koperasi dan usahawan B40 memasarkan produk serta meningkatkan hasil jualan.
“Bagi satu jam pertama, potongan harga 30 peratus ditawarkan menerusi Happy Hour, diikuti 20 peratus selepas itu. Ini peluang langsung kepada rakyat setempat, khususnya golongan B40,” katanya selepas merasmikan Program JMKU di sini, semalam.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan bantuan pembiayaan kepada beberapa usahawan di bawah agensi KUSKOP, termasuk Koperasi Pelancongan Batu Puteh Sendirian Berhad (KOPEL) berjumlah RM11 juta bagi menyokong operasi dan pengembangan perniagaan.
Tambahnya, antara keutamaan KUSKOP adalah mempercepat proses keusahawanan, pendigitalan dan automasi di samping mengurangkan kerenah birokrasi.
“Kelulusan pembiayaan akan dipercepat melalui perkongsian data antara agensi supaya usahawan tidak dibebani keperluan dokumen berulang.
“Langkah ini selari usaha membuka pasaran lebih luas termasuk antara negeri dan antarabangsa, selain memastikan akses modal mencukupi dengan peruntukan pembiayaan mencecah RM500 juta tahun ini bagi menyokong pertumbuhan usahawan secara mampan,” katanya.
-RJ-





