Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

HSA, Klinik Kesihatan Bandar Mas Mudahkan Derma Darah di Luar Bandar

By 23 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Al-Tarmizi Azmi (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan kempen derma darah di pelbagai lokasi termasuk di kawasan luar bandar oleh Hospital Sultanah Aminah (HSA) memudahkan orang ramai untuk menyumbang.

Semalam, HSA dengan kerjasama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bandar Mas turut menganjurkan program derma darah di Balai Raya Felda Sungai Mas, di sini sebagai usaha berterusan bagi menambah bekalan darah negara di samping memudahkan penduduk luar bandar menyumbang darah tanpa perlu hadir ke hospital.

Saringan kesihatan dilakukan terlebih dahulu sebelum seseorang layak atau tidak untuk menderma darah.

Menurut Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bandar Mas Hisham Saian penderma hanya dibenarkan menderma darah setiap tiga bulan sekali.

Sehubungan itu, beliau berkata program derma darah di sesuatu lokasi kebiasaannya dianjurkan sebanyak tiga kali setahun, dengan sasaran minimum 50 penderma dan maksimum 100 penderma bagi setiap penganjuran.

“Setiap penderma perlu melalui proses saringan termasuk pemeriksaan berat badan dan tekanan darah. Individu yang mempunyai tekanan darah tinggi, menghidap kencing manis serta wanita yang sedang haid tidak dibenarkan menderma dan perlu menunggu sekurang-kurangnya seminggu selepas haid,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penderma yang kerap menderma darah akan menerima beberapa keistimewaan, antaranya layanan khas di hospital serta sebuah buku rekod derma darah untuk rujukan dan simpanan sepanjang hayat.

Sampel darah penderma yang diambil akan dihantar ke makmal untuk dibuat pemeriksaan.

Sementara itu, seorang penderma Siti Nur Fatihatul Hamidun, 37, berkata penyertaannya dalam program berkenaan menandakan kali kelima beliau menderma darah.

“Program derma darah di kawasan FELDA sangat baik dan wajar diteruskan kerana tidak semua individu mempunyai peluang atau kemudahan untuk ke hospital.

“Saya menyeru orang ramai agar tidak takut untuk menderma kerana derma darah bukan sahaja membantu pesakit yang memerlukan, malah memberi manfaat kepada kesihatan,” katanya.

Program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Felda Sungai Mas dan kawasan sekitar ini melibatkan seramai 15 orang petugas HSA dan Klinik Kesihatan Bandar Mas.

-RI

Tinggalkan komen anda