
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Lee Ting Han (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Johor sekali lagi melakar detik bersejarah apabila fasiliti baharu Brooks Automation, sebuah syarikat teknologi automasi terkemuka dari Amerika Syarikat yang membuat pelaburan bernilai lebih RM240 juta ke negeri ini.

Pembukaan syarikat ini memberi pulangan memberangsangkan dan selari dengan aspirasi kerajaan negeri membina ekonomi berimpak tinggi berteraskan inovasi, kemampanan dan daya saing global
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor Lee Ting Han, berkata pelaburan tersebut dijangka mewujudkan hampir 400 peluang pekerjaan tempatan berkemahiran tinggi dan merangkumi bidang kejuruteraan, teknikal, operasi serta sokongan industri berteknologi tinggi.
“Brooks Automation dikenali sebagai peneraju global dalam pembangunan robotik dan sistem automasi dalam persekitaran vakum, iaitu teknologi teras yang menjadi tulang belakang kepada industri semikonduktor dunia.
“Teknologi ini digunakan secara meluas dalam rantaian bekalan global dan memainkan peranan penting dalam pengeluaran komponen elektronik berprestasi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kilang Syarikat Brooks Automation yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi di Tanjung Langsat, di sini semalam.
Sementara itu, kehadiran Brooks di Johor bukan sahaja membawa masuk modal pelaburan, malah turut merangkumi pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan serta pengukuhan ekosistem industri berteknologi tinggi.
“Perasmian fasiliti ini dilihat sebagai satu langkah strategik yang meletakkan Johor di peta global sebagai destinasi pilihan pelaburan teknologi dan semikonduktor di dunia,” katanya.
Turut hadir, Penasihat Ekonomi Johor Dato’ Ir Hasni Mohamad, Setiausaha Kerajaan Johor Dato’ Asman Shah Abd Rahman dan Pegawai Daerah Johor Bahru Mohd Masni Wakiman.
-AA-





