Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Karnival Kebudayaan MADANI, Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026: Meriah dan Mesra Rakyat

By 25 Januari 2026Januari 26th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Safwanah Zulkopli/Zaidi Muslim (Seberang Perai Tengah)

PERMATANG PAUH, 25 Jan (MalaysiaAktif) – Penganjuran Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir, di sini menghimpunkan pemimpin dan rakyat dalam suasana kebersamaan melalui pendekatan inklusif, kebajikan dan keterlibatan komuniti, di sini semalam.

Antara aktiviti yang mendapat sambutan pengunjung adalah Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak dengan penyertaan seramai 360 orang.

Program yang menarik kehadiran orang ramai sejak awal pagi itu menawarkan pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, keselamatan dan kebajikan rakyat.

Antara tumpuan utama ialah pameran unit kereta perisai Tarantula, iaitu kenderaan perisai pertama buatan Malaysia, yang bukan sahaja mempamerkan keupayaan industri pertahanan tempatan, malah meningkatkan kesedaran rakyat terhadap keupayaan teknologi negara.

Aspek kesejahteraan rakyat turut diberi penekanan menerusi penyediaan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain pelaksanaan Program Jualan Rahmah yang membantu meringankan kos sara hidup dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Pameran unit kereta perisai pertama buatan Malaysia, Tarantula, yang menjadi kebanggaan industri pertahanan tempatan turut dipamerkan.

Seorang pengunjung, Noorul Aini Ahmad, 42, menyifatkan penganjuran program seumpama ini sebagai sangat bermanfaat buat rakyat.

“Program macam ni memang dekat dengan hati rakyat, datang bukan saja boleh tengok pameran menarik tapi dapat juga buat pemeriksaan kesihatan, beli barang murah dan dalam masa yang sama kita dapat info berkaitan inisiatif terkini yang dijalankan oleh kerajaan,” katanya.

Karnival yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu dirasmikan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Program ini merupakan anjuran bersama pelbagai pihak termasuk Yayasan Global Mesra, MRT Corp dan Bank Rakyat, selaras dengan usaha berterusan Kerajaan untuk menyemarakkan semangat Malaysia MADANI serta memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan rakyat di peringkat komuniti.

-RI

Tinggalkan komen anda