
Laporan/foto: Noornita Ahmad/Sufian Rashid (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 25 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan MADANI menggariskan hala tuju baharu sistem pendidikan negara menerusi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang menekankan pembangunan modal insan berdaya saing di peringkat global tanpa mengabaikan nilai jati diri dan integrasi nasional.

Anwar (lima dari kiri) bergambar bersama pemimpin lain serta pengunjung yang turut sama hadir memeriahkan Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata transformasi pendidikan di bawah RPN merupakan agenda kritikal negara bagi memastikan generasi muda memiliki keupayaan bersaing di pentas antarabangsa seiring perubahan landskap global, khususnya dalam era teknologi dan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Anwar menegaskan langkah pengenalan semula penilaian berpusat bermula Tahun 4 dilaksanakan sebagai pendekatan proaktif untuk mengesan tahap penguasaan murid lebih awal, selain mewajibkan penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah di semua institusi pendidikan termasuk sekolah swasta.
“Kita mahu pastikan bantuan intervensi dapat diberikan segera supaya tiada anak yang tercicir, dan kurikulum kebangsaan ini adalah tunjang utama untuk membentuk integrasi nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, di sini semalam.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diberi penekanan melalui pendedahan lebih awal kepada pelajar yang cenderung dalam bidang kemahiran, selaras keperluan industri semasa yang semakin mencabar dan berteraskan teknologi tinggi.
-RI





