Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

Johor Cultura! 2026 Meriahkan Uptown Tangkak, Angkat Seni Budaya Tempatan

By 26 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)

TANGKAK, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Program Johor Cultura! 2026 kini mula menggegarkan Uptown Tangkak secara serentak dengan pelancaran di seluruh daerah di negeri ini, sekali gus menjadi pemacu utama sektor pelancongan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Keluarga, Wanita dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail, berkata inisiatif strategik Kerajaan Negeri Johor itu dirangka khusus bagi memperkukuh pengisian Tahun Melawat Johor 2026 dengan mengangkat seni dan budaya sebagai teras tarikan pelancongan.

Khairin-Nisa, berkata program ini dijangka memeriahkan lokasi tumpuan pelancongan di setiap daerah serta menyokong sasaran Johor menarik 12 juta pelancong.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, memaklumkan program anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ) bersama Majlis Kebudayaan Daerah ini akan dilaksanakan secara berterusan pada setiap hujung minggu.

“Johor Cultura! 2026 bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya merupakan satu gerakan merakyatkan seni budaya yang membawa warisan, adat, sejarah dan identiti Johor lebih dekat kepada masyarakat serta pelancong,” ujarnya ketika merasmikan majlis tersebut Uptown Tangkak, di sini kelmarin.

Menurut Khairin-Nisa, penganjuran ini juga dijangka mampu memeriahkan kawasan tumpuan pelancongan di setiap daerah, sekali gus menyokong sasaran kerajaan negeri untuk menarik kehadiran 12 juta pelancong ke Johor.

Persembahan tarian silat sebagai persembahan pembukaan majlis menarik minat pengunjung yang hadir.

“Seni dan budaya diangkat sebagai produk pelancongan bernilai tinggi yang berupaya menjana ekonomi setempat serta mengukuhkan imej Johor sebagai sebuah negeri yang beridentiti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Johor untuk memberi sokongan padu bagi menjayakan program berkenaan demi memastikan kelestarian warisan budaya negeri untuk generasi akan datang.

Turut hadir Pegawai Daerah Tangkak Ungku Suzana Ungku Mohammad, Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak Shamsul Ariff Sulaiman dan Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Talib.

-RI

Tinggalkan komen anda