Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

110 Pegawai Masjid Baling Terima Kad Kuasa, Perkukuh Penguatkuasaan Undang-undang Islam

By 27 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Baling)

BALING, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 110 Pegawai Masjid di Daerah Baling hari ini menerima kad kuasa oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Samsul Amri, berkata pemberian kad kuasa itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh pelaksanaan Enakmen Syariah.

Seorang peserta, Samsul Amri Hamzah, 52, menyifatkan pemberian kad kuasa itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh pelaksanaan Enakmen Syariah.

“Pemberian kad kuasa bukan bertujuan untuk mencari kesalahan sebaliknya sebagai usaha mendidik dan memberi peringatan kepada umat Islam agar terus berada pada landasan hidup yang telah ditetapkan,” katanya kepada Malaysia Aktif di Dewan Masjid Kampung Hangus, Mukim Kupang, di sini.

Terdahulu, mereka turut menerima taklimat berkaitan Kaedah Tangkapan di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman).

Menurut penganjur, program tersebut bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada Pegawai Masjid mengenai bidang kuasa, tatacara tangkapan serta peranan mereka dalam membantu penguatkuasaan Undang-undang Syariah di peringkat akar umbi.

Pegawai-pegawai Masjid dalam Daerah Baling tekun mendengar taklimat berkaitan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Dua sesi taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JHEAIK Mohd Naziff Zakaria yang merangkumi penerangan terperinci mengenai kaedah tangkapan bagi sebarang kesalahan di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah serta fungsi dan penggunaan kad kuasa dalam menjalankan tugas.

Taklimat tersebut antara lain menekankan prosedur tangkapan yang betul, had kuasa Pegawai Masjid serta kepentingan mematuhi peruntukan undang-undang bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berhemah, beretika dan selaras dengan kehendak syarak.

Program ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkasa institusi masjid sebagai rakan strategik agensi penguatkuasaan, sekali gus memartabatkan maruah umat Islam serta memastikan pematuhan terhadap Undang-undang Syariah terus diperkukuh demi kesejahteraan masyarakat di daerah Baling.

-RI

Tinggalkan komen anda