
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini Mohamad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai sektor pelancongan utama.
Pengerusinya, Dato’ Rozi Mamat berkata potensi itu dicerap melalui lima elemen yang diberi tumpuan iaitu warisan dan kebudayaan, tarikan alam semula jadi, gastronomi tempatan, produk tradisional serta pengalaman kehidupan desa.

Pengamal media yang hadir di Majlis Jalinan Mesra bersama KETENGAH.
“Tasik Kenyir bukan sahaja menjadi ikon Negeri Terengganu, malah destinasi pelancongan terkenal di peringkat nasional. Tasik Kenyir berperanan sebagai pemangkin ekonomi kepada penduduk setempat dan bakal menjadi tumpuan pelancong melalui penganjuran Festival Kenyir Geopark 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 30 Ogos 2026.
“Selain itu, pelancongan desa di Wilayah KETENGAH terus diberi perhatian, antaranya Kampung Pasir Raja, Dungun yang terpilih di bawah Program Desa Kirana@KKDW, sekali gus membuka peluang kepada komuniti setempat menjana pendapatan melalui aktiviti pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jalinan Mesra KETENGAH dan Rakan Media Terengganu bagi memperkukuh hubungan strategik bersama rakan media yang berlangsung di Hotel Primula, di sini kelmarin.
Menurutnya, media dan influencer (pempengaruh) memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara agensi pelaksana dan rakyat dalam menyampaikan maklumat pembangunan secara telus, tepat dan berfakta.

Rozi Mamat bergambar bersama Pengurusan tertinggi KETENGAH dan tetamu yang hadir.
“Sokongan rakan-rakan media serta influencer amat diperlukan bagi membantu memaparkan usaha pembangunan, mengangkat kisah kejayaan rakyat serta mengetengahkan program kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Sehubungan itu, KETENGAH komited untuk terus membuka ruang kerjasama strategik bersama media dan influencer sebagai rakan kongsi dalam menyampaikan suara rakyat serta membina keyakinan masyarakat terhadap usaha pembangunan demi masa depan wilayah yang sejahtera dan mampan,” katanya.
-RI





