
Laporan/foto: Mohd Azhar Mat Isa (Muallim)
SLIM RIVER, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Muallim menganjurkan Karnival Moh Komer Bayor Cukai sebagai inisiatif strategik meningkatkan kesedaran dan pematuhan pemilik tanah dalam menjelaskan cukai di daerah ini.

Kaunter Bergerak PDT Muallim turut membantu memudahkan urusan masyarakat setempat untuk menjelaskan cukai tanah.
Menurut Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Muallim Syahruddin Abdul Hamid, karnival tersebut memberi penekanan kepada usaha mengurangkan tunggakan cukai tanah melalui pendekatan mesra rakyat.
“Kita menyediakan pelbagai kemudahan pembayaran secara terus serta penyampaian maklumat berkaitan perkhidmatan tanah dan kaedah bayaran terkini bagi memudahkan urusan orang awam.
“Langkah ini secara tidak langsung mendekatkan perkhidmatan PDT Muallim kepada komuniti setempat,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian karnival tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, di sini semalam.

Sesi bergambar bersama-sama Ketua Jabatan dan wakil agensi di Daerah Muallim.
Karnival yang berlangsung sejak awal pagi itu turut dimeriahkan dengan program Jualan Rahmah, pameran agensi kerajaan, kaunter bergerak dan sesi podcast ‘Celik Tanah’ kendalian Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN).
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Pengarah Pendaftaran Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak Roziyah Shariff.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Salina Samsudin dan ADUN Slim Muhammad Zulfadli Zainal.
-RI





