Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

18 Kenderaan Musnah Dalam Kebakaran Belukar Di Taman Bukit Mewah

By 28 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/JBPM Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Sebanyak 18 buah kenderaan dilaporkan musnah dan mengalami kerosakan selepas satu kebakaran belukar merebak dalam kejadian di kawasan bersebelahan Masjid Al Mahabah, Taman Bukit Mewah, di sini semalam.

Sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bersama jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 1.32 petang.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nakish Nekmat berkata seramai sembilan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran belukar melibatkan kawasan seluas 0.372 hektar sedang marak dan api telah merebak ke kawasan parkir kenderaan berhampiran sebelum pasukan bomba tiba.

Hasil pemeriksaan mendapati 18 buah kenderaan mengalami kemusnahan sehingga 80 peratus

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) segera bertindak menjalankan pemadaman menggunakan alat pemerap api serta tiga aliran sepanjang 122 meter bagi menyekat api daripada terus merebak,” katanya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati beberapa jenis kenderaan mengalami kemusnahan sehingga 80 peratus dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 2.37 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.20 petang selepas keadaan disahkan selamat.

Susulan kejadian itu, JBPM Johor menasihatkan orang ramai agar menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, terutama di kawasan yang berhampiran dengan kediaman dan tempat awam bagi mengelakkan risiko bencana serupa berulang.

-AA-

Tinggalkan komen anda