
Laporan/foto: Hanafi Sariman
TASEK GELUGOR, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Tiga institusi utama di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), iaitu Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan MARA-Japan Industrial Institute (MJII), kini diseragamkan di bawah satu identiti baharu dikenali sebagai TVETMARA.

Ahmad Zahid ketika hadir merasmikan penjenamaan TVETMARA
Penjenamaan semula ini melibatkan 25 institusi MARA di seluruh negara dan disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memastikan sistem latihan kemahiran lebih tersusun, relevan dengan keperluan industri serta mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penjenamaan TVETMARA bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya merangkumi penyelarasan identiti, standard latihan serta kurikulum bagi memastikan pendidikan TVET selari dengan kehendak industri semasa dan masa hadapan.
“Ini bukan satu jalan pintas, tetapi jalan yang menggunakan ekosistem pendidikan teknikal yang baharu, dan ini akan memberikan peluang kebolehpasaran pekerjaan mereka terbuka dengan luas kerana semua institusi ini menjalin kerjasama dengan pemain-pemain industri, di mana kita telah mengadakan perjanjian memorandum of agreement, dengan pemain-pemain industri,” katanya.

Pengerusi MARA Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penjenamaan ini adalah bagi mengukuhkan identiti, reputasi dan kreadibiliti institusi TVET MARA.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penjenamaan TVETMARA serta penubuhan Akademi Pakar Tenaga Elektrik Nasional (NEST) di Institut Kemahiran MARA (IKM) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, di sini semalam.
Menurut beliau, TVETMARA turut menyediakan laluan pendidikan alternatif yang lebih praktikal dan fleksibel, khususnya kepada lepasan sekolah termasuk mereka yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun mempunyai potensi besar dalam bidang kemahiran teknikal.
Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang kerjaya berkemahiran tinggi serta meningkatkan daya saing graduan tempatan selaras dengan agenda pembangunan ekonomi negara.
-AA-





