Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

PDT Padang Terap Perjelas Prosedur Permohonan Tanah Melalui Program Konsultasi Awam di Naka

By 28 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)

PADANG TERAP, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Padang Terap telah mengadakan Program Penerangan dan Konsultasi Awam bagi memberi pencerahan secara terus kepada penduduk setempat mengenai prosedur permohonan tanah kerajaan serta urusan berkaitan hak milik tanah.

Program turun padang di Dewan Sementara Masjid Al-Hidayah, Pekan Naka itu melibatkan penyampaian taklimat oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah) Mastura Sapifee, yang menjelaskan secara terperinci proses permohonan tanah bermula daripada penyediaan dokumen sehingga ke peringkat kelulusan Jawatankuasa Tanah Negeri.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah) menyampaikan taklimat berkenaan proses permohonan tanah kerajaan.

Menurutnya, penyediaan dokumen yang lengkap dan teratur amat penting bagi memastikan proses pengukuran tanah dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang penangguhan.

“Sekiranya maklumat ini tidak lengkap, proses pengukuran akan menjadi lebih lambat kerana pegawai teknikal terpaksa mencari semula sempadan tanah hak milik yang berdekatan dengan kawasan yang dipohon,” katanya, di sini semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa pemohon perlu mengemukakan maklumat tambahan seperti perenggan tanah serta kedudukan batu sempadan berdekatan bagi membantu kerja-kerja pengukuran oleh pegawai teknikal.

“Setelah laporan pengukuran disediakan, permohonan tanah akan dirujuk kepada jabatan teknikal berkaitan mengikut lokasi tanah, antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tanah berhampiran jalan utama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sekiranya melibatkan jajaran sungai serta Jabatan Perhutanan bagi kawasan berdekatan hutan simpan.

“Selain itu, notis permohonan tanah akan dipamerkan selama sebulan di tempat awam seperti Pejabat Penghulu dan masjid bagi memberi ruang kepada orang awam mengemukakan bantahan. Maklum balas daripada jabatan teknikal lazimnya mengambil masa antara satu hingga dua bulan bergantung kepada kerumitan sempadan tanah yang terlibat,” katanya.

Penduduk kawasan Naka yang hadir bagi mendapatkan maklumat berkenaan permohonan tanah kerajaan.

Mastura turut, menjelaskan bahawa selepas kelulusan teknikal diperoleh, penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) akan dilaksanakan bagi menentukan jumlah premium yang perlu dibayar.

Tegasnya bayaran deposit premium bukan jaminan kelulusan permohonan, memandangkan geran hak milik hanya akan dikeluarkan selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Tanah Negeri.

“Terdapat kes permohonan yang ditolak walaupun telah sampai ke peringkat jawatankuasa, justeru pemohon perlu memahami bahawa kelulusan tertakluk sepenuhnya kepada keputusan pihak berkuasa negeri,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda