Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Persatuan Teksi Cameron Highlands Perkenal Perkhidmatan Penghantaran Lebih Menyeluruh

By 29 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abd Muiz/Sunito Ngah Man (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Persatuan Teksi Cameron Highlands memperkenalkan perkhidmatan penghantaran yang lebih menyeluruh, termasuk perkhidmatan penghantaran ke seluruh Malaysia sebagai usaha memperluas peranan teksi dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat serta pelancong yang berkunjung ke daerah peranginan itu.

Pemandu-pemandu teksi sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan penghantaran.

Inisiatif berkenaan diperkenalkan selaras dengan perubahan keperluan semasa khususnya bagi memastikan perkhidmatan teksi terus relevan dan berdaya saing di samping menawarkan kemudahan yang lebih fleksibel kepada orang ramai.

“Perkhidmatan ini dilaksanakan dengan menitikberatkan aspek keselamatan, ketepatan masa dan kebolehpercayaan. Selain perkhidmatan tempatan, kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran ke seluruh negara bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” kata Ahli Persatuan Teksi Cameron Highlands Kurusamy Ramalingam, 63, di sini semalam.

Kurusamy berkata perkhidmatan yang diperkenalkan itu turut memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan apabila pelancong mempunyai pilihan perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan teratur sepanjang berada di Cameron Highlands termasuk untuk urusan penghantaran ke destinasi lain di Malaysia.

Kurusamy Ramalingam yang juga merupakan pemandu teksi di Cameron Highlands.

Persatuan Teksi Cameron Highlands berharap perkhidmatan yang diperkenalkan ini mendapat sambutan positif daripada masyarakat serta pihak berkepentingan, sekali gus mengukuhkan imej perkhidmatan teksi sebagai pilihan yang dipercayai, profesional dan relevan bukan sahaja di Cameron Highlands, malah di peringkat nasional.

Langkah tersebut juga dilihat dapat menyokong aktiviti ekonomi setempat dengan memperkukuhkan peranan pemandu teksi sebagai sebahagian daripada rantaian perkhidmatan sokongan yang lebih luas.

-RI

Tinggalkan komen anda