Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Musim Durian Jadi Rezeki Peniaga Kampung Uma Kahei

By 29 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Awangku Hamizan/Clarence Chin (Sarawak)

BELAGA, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Musim durian menjadi sumber rezeki utama buat peniaga tempatan, Ping Avit dari Kampung Uma Kahei Long Mekero, di sini yang mengusahakan jualan buah-buahan hasil kebun sendiri.

Ping Avit menunjukkan durian hasil tanaman sendiri yang dijual di gerai berhampiran kediamannya sempena musim buah.

Ping, 58, berkata beliau mula berniaga buah-buahan secara kecil-kecilan sejak 2021 sebelum mencuba berniaga di pasar pada tahun lepas, namun memilih kembali menjual di kawasan berhampiran kediamannya kerana lebih selesa dan menguntungkan.

“Saya rasa berniaga di sini lebih sesuai. Kami bina pondok sendiri sebagai tapak jualan dan mengadakan gotong-royong beramai-ramai. Jika buah habis dijual, kami boleh terus ambil dari kebun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ping membuka gerai dari Isnin hingga Sabtu seawal jam 7.30 pagi, manakala pada hari Ahad beliau hanya berniaga pada waktu petang.

Menurutnya, hasil daripada lebih 20 pokok durian miliknya, beliau mampu memperoleh pendapatan melebihi RM1,000 seminggu sepanjang musim buah.

Selain durian, beliau turut menjual sayur-sayuran, hasil tanaman, kuih-muih serta makanan panggang yang mendapat sambutan menggalakkan terutama pada waktu petang.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat menyediakan pondok khas untuk peniaga buah-buahan berhampiran kampung supaya urusan kami lebih teratur apabila tiba musim buah,” katanya.

Kisah Ping Avit mencerminkan kecekalan peniaga kecil luar bandar yang memanfaatkan hasil kebun sendiri di samping mengukuhkan semangat gotong-royong dan kebersamaan dalam komuniti setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda