
Laporan/foto: Jane Chua (Saratok)
SARATOK, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Panjang Nyambar, Saratok dijangka memberi impak positif kepada pembangunan dan kesejahteraan penduduk setempat apabila siap sepenuhnya kelak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik mengadakan lawatan kerja ke tapak pelaksanaan projek RTP di Rumah Nyambar Omar, Roban semalam bagi meninjau kemajuan projek serta memastikan pelaksanaannya berjalan lancar mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Friday Belik menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Projek RTP yang bertujuan meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk Rumah Panjang Nyambar, Saratok.
“Sesi lawatan dan pendekatan workabout amat penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan yang dilaksanakan bersifat realistik serta selari dengan keperluan sebenar penduduk luar bandar,” katanya.
Beliau turut melawat lima buah rumah di rumah panjang tersebut untuk melihat sendiri keadaan kediaman penduduk serta mendengar pandangan dan permasalahan yang dihadapi mereka.
Friday turut menegaskan peranan penting Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai penghubung antara penduduk dan pihak kerajaan, khususnya dalam menyalurkan maklumat, isu serta cadangan pembangunan di peringkat akar umbi.

Friday Belik meninjau jalan menuju ke sungai bagi mengenal pasti keperluan infrastruktur penduduk Rumah Panjang Nyambar, Saratok semasa lawatan Projek RTP.
Sementara itu, Tuai Rumah Nyambar Omar merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan lawatan yang diadakan di samping memaklumkan beberapa isu berkaitan kemudahan asas dan infrastruktur serta berharap kerajaan terus memberi tumpuan kepada pembangunan rumah panjang di kawasan luar bandar.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kabong Tahir Sharee, Setiausaha Majlis Daerah Saratok McCrea Jospeh Perrera, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Nurul Ratasa serta Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya Priscilla Cornelius.
-RJ-





