Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Projek Naik Taraf Gerai Makan, Waterfront Perkukuh Ekonomi Lundu

By 29 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Indah Putra (Lundu)

LUNDU, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa pembangunan setempat menerusi pelaksanaan projek naik taraf kemudahan awam dan perniagaan, termasuk 18 buah gerai makan serta Waterfront Lundu bagi merancakkan ekonomi tempatan dan sektor pelancongan daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan berkata kemudahan yang dinaik taraf bukan sahaja memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung malah berperanan sebagai pemangkin kepada pengukuhan ekonomi setempat serta meningkatkan imej Lundu sebagai destinasi komuniti dan pelancongan.

Azizul Annuar Adenan menyempurnakan perasmian Waterfront Lundu dan Gerai Makan Sematan yang dijangka menjadi tarikan komuniti dan pelancongan setempat.

“Sehubungan itu, saya berharap segala kemudahan awam yang disediakan dapat dijaga dengan baik dan dimanfaatkan secara berhemah oleh semua pihak demi menjamin kelestariannya untuk jangka masa panjang, di samping menitikberatkan aspek kebersihan dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Naik Taraf Gerai Makanan di Pekan Sematan, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Berahim berkata projek naik taraf 18 buah gerai makan itu melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertujuan menyediakan ruang niaga yang lebih selesa dan kondusif kepada peniaga tempatan.

Azizul Annuar membuat tinjauan rapi ke unit-unit Gerai Makan Sematan yang telah siap sepenuhnya.

Menurutnya, projek naik taraf Waterfront Lundu pula dilaksanakan menerusi peruntukan ADUN Tanjung Datu di bawah Geran Khas Kawasan Pembangunan (GKCDA) dengan Majlis Daerah Lundu bertindak sebagai agensi pelaksana.

Norashikin berkata pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan selari dengan teras pembangunan negeri khususnya dalam memperkasa ekonomi tempatan melalui penyediaan kemudahan awam yang lebih teratur, berdaya saing dan mampan.

Turut hadir Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Ketua Polis Daerah Lundu Supt Sudirman Kram, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), ketua-ketua jabatan, ahli majlis serta para penjaja sekitar Lundu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda