Skip to main content
Berita TempatanSabah

JPANS Perkasa Integriti Ke Arah Pensijilan ISO, ABMS

By 30 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Len/Mohd Sazwan Roslan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 30 Jan (MalaysiaAktif) – Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) sedang berusaha mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS 37001:2025) secara bersepadu bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata penjawat awam perlu sentiasa berdisiplin dan berintegriti kerana perkhidmatan awam merupakan tonggak utama dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan kekal efektif dan efisien.

Hajiji menekankan integriti, disiplin serta pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan awam sempena Majlis Amanat Ketua Menteri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0.

“Usaha mendapatkan pensijilan ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh tadbir urus organisasi, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menzahirkan komitmen kerajaan negeri terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan serta pentadbiran,” katanya ketika Majlis Amanat Ketua Menteri Sabah Kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0, di sini, Jumaat.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri komited mewujudkan pentadbiran yang kemas, tersusun dan berdisiplin kerana perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja mencemarkan nama baik individu, malah memberi kesan kepada keluarga, institusi serta boleh mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara.

Beliau berkata seruan tersebut bukan hanya ditujukan kepada agensi perkhidmatan awam, malah melibatkan semua kakitangan Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Hajiji (tengah) memegang Buku Hala Tuju Sabah Maju Jaya Pelan Pembangunan SMJ 2.0 sempena Majlis Amanat Ketua Menteri Sabah kepada Penjawat Awam Negeri Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Hajiji turut menegaskan penjawat awam merupakan rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung terhadap kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

“Perkhidmatan awam ialah tulang belakang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan. Kerajaan boleh bertukar dan dasar boleh berubah, namun perkhidmatan awam mesti kekal profesional, neutral serta berorientasikan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan mana-mana penjawat awam negeri yang merasakan tidak mampu melaksanakan tugas dengan berkesan supaya memaklumkan pihak atasan bagi pertimbangan penempatan semula demi kepentingan rakyat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda