Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Sambutan Thaipusam Disambut Meriah dengan Perarakan Kavadi

By 1 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad (Pasir Mas)

TUMPAT, 1 Feb (MalaysiaAktif) – Sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Muthumariamman, Tumpat berlangsung meriah hari ini, dengan perarakan kavadi yang disertai ratusan penganut Hindu sebagai tanda menunaikan nazar serta kepercayaan keagamaan masing-masing.

Kehadiran sanak saudara turut memeriahkan sambutan Thaipusam sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam suasana penuh keharmonian

Seawal pagi, para penganut dilihat berkumpul di kuil untuk memulakan upacara keagamaan sebelum meneruskan perarakan kavadi yang diiringi paluan muzik tradisional, sekali gus menceriakan suasana sambutan.

Seorang penganut, Thanaletchumi Govindasamy, 48, berkata sambutan Thaipusam di Tumpat disambut setiap tahun dengan perarakan kavadi dari Kuil Sri Muthumariamman ke Padang Kemahkotaan Tumpat atau Pantai Ndo, melibatkan jarak kira-kira 1.5 kilometer.

Perarakan kavadi yang diadakan awal pagi menarik perhatian pengunjung dan mencerminkan kekuatan spiritual penganut Hindu

Menurutnya, walaupun jumlah kehadiran tidak seramai di Batu Caves perarakan tersebut tetap membawa makna besar sebagai simbol keinsafan, kesabaran dan kesungguhan dalam menunaikan janji kepada Tuhan.

Orang ramai turut hadir menyaksikan perarakan yang berlangsung dengan aman dan teratur, selain dikawal rapi oleh pihak berkaitan.

Sambutan ini secara tidak langsung mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di daerah Tumpat, di samping memelihara warisan budaya dan keagamaan untuk generasi akan datang.

-AA-

Tinggalkan komen anda