
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Jusoh (Tanah Merah)
PASIR MAS, 2 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis perasmian Program Inisiatif Perumahan dan Penyerahan Kunci Rumah Bina Baharu telah berlangsung di Kampung Buloh Melintang, Chetok, Pasir Mas.

Md Jusoh Idris menerima kunci rumah dari Ketua Pengarah JHEV ATM
Majlis tersebut disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Mejar Jeneral Dato’ Semaon Marjuki, yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan veteran ATM dan keluarga mereka.
Menurut Semaon, selain bantuan perumahan, JHEV ATM turut menyediakan bantuan keusahawanan, perubatan dan pendidikan bagi memastikan kesejahteraan veteran terus terpelihara.
“Terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan veteran ATM yang telah banyak berjasa kepada negara,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, kelmarin.

Ketibaan Ketua.Pengarah JHEV ATM di sambut oleh ahli-ahli veteran ATM
Seorang penerima, Md Jusoh Idris, 75, berkata beliau amat bersyukur menerima sebuah rumah bernilai RM75,000 dengan keluasan 720 kaki persegi, lengkap tiga bilik tidur dan dua bilik air yang siap dibina dalam tempoh 42 hari di atas tanah pusaka keluarganya.
“Pemberian ini amat bermakna buat saya dan keluarga, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.
Pada majlis tersebut, empat veteran ATM turut menerima kunci rumah melibatkan penerima dari Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Kuala Terengganu.
-AA-





