Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

MINDEF Laksana Tujuh Projek Pembangunan Di Kampung Tuan Seh

By 2 Februari 2026Februari 3rd, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)/Facebook Khaled Nordin

KOTA TINGGI, 2 Feb (MalaysiaAktif) – Kementerian Pertahanan (MINDEF) berjaya menyempurnakan pelaksanaan tujuh projek pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di bawah Program Kampung Angkat MADANI (KAM) di Kampung Tuan Seh, di sini.

Mohamed Khaled berkata Inisiatif Kampung Angkat MADANI di Kampung Tuan Seh bernilai RM1.5 juta kini siap sepenuhnya dan telah diserahkan untuk kegunaan penduduk setempat

Menteri Pertahanan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata inisiatif melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.5 juta itu kini siap sepenuhnya dan telah diserahkan untuk kegunaan penduduk setempat.

Menurut beliau, pembangunan tersebut merangkumi naik taraf kemudahan awam, institusi pendidikan, aspek keselamatan, ruang komuniti serta pembinaan mercu tanda ikonik bagi kampung berkenaan.

“Peruntukan yang diberikan ini telah dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan penduduk. Ia bertujuan meningkatkan standard kemudahan asas selain memperkukuh jaringan sosial dan ekonomi warga Kampung Tuan Seh.

“Inisiatif ini juga dirangka untuk menyokong potensi kawasan ini sebagai lembah makanan dan destinasi ekopelancongan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi mampan yang selari dengan budaya masyarakat tempatan,” katanya ketika merasmikan majlis perasmian dan penyerahan projek berkenaan, di sini kelmarin.

Mohamed Khaled beramah mesra dengan penduduk Kampung Tuan Seh selepas majlis selesai

Tambah Mohamed Khaled, program tersebut turut memperlihatkan kerjasama erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pelbagai agensi kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar tercapai.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan bantuan kebajikan, kelengkapan persekolahan serta sumbangan keperluan khas kepada golongan sasar di kawasan tersebut.

Program KAM seliaan MINDEF yang bermula di Kampung Baru Pasak pada 2024 akan terus diperluas ke lokasi lain pada masa hadapan bagi memastikan liputan pembangunan yang inklusif.

Turut hadir, Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Udara Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris, Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Dato’ Seri Muhammad Huzaimi Sabri dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Miswan Yunus.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili Muszaide Makmor dan ADUN Johor Lama Norlizah Noh.

-AA-

Tinggalkan komen anda