Skip to main content
Berita TempatanLabuan

PETRA Jalankan Projek Perintis Kenal Pasti Sumber Air Labuan

By 3 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan) /UKK PETRA

LABUAN, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan menjalankan projek perintis bagi mengenal pasti sumber air tempatan bagi mengurangkan kebergantungan Labuan kepada bekalan air dari Negeri Sabah.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof projek perintis itu menjadi fokus PETRA dalam mencari kaedah mendapatkan sumber air baharu dari Labuan sendiri.

“Kajian itu meliputi penilaian terhadap potensi sumber air bawah tanah bagi penyelesaian bekalan yang menyeluruh Labuan selain mampu membekalkan air kepada Labuan untuk tempoh tertentu jika berlaku sebarang gangguan bekalan air atau kerosakan akibat bencana alam.

“Labuan dipilih untuk pelaksanaan projek perintis ini kerana Labuan adalah kawasan yang agak kritikal dengan masalah bekalan air dan jika berjaya ianya akan menjadi kaedah baharu untuk setiap pulau-pulau di Malaysia,” katanya semasa Majlis Penyerahan Projek-Projek Bekalan Air, di sini 27 Jan lepas.

Jelasnya lagi, sembilan projek bekalan air bernilai lebih RM133 juta yang dilaksanakan oleh PETRA menerusi Jabatan Bekalan Air (JBA) telah berjaya disiapkan.

“Tiga daripada projek tersebut berjumlah RM106.5 juta telah disiapkan secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), dua projek yang telah diluluskan secara one-off di bawah Rancangan Malaysia Keduabelas (RMKe-12) bernilai RM4.78 juta telah berjaya disiapkan dalam tempoh tujuh bulan.

“Empat projek jangka pendek di bawah peruntukan RM300 juta yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) semasa Belanjawan 2024 turut berjaya disiapkan hasil komitmen dan kecekapan pelaksanaan oleh semua pihak terlibat,” katanya.

Tambahnya, 13 buah projek berkaitan bekalan air termasuk Program Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan Pendekatan 1 Fasa 2 dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah lebih daripada RM470 juta sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di Wilayah Persekutuan Labuan.

-FN

Tinggalkan komen anda