
Laporan/foto: Anuar Che Amat
PADANG BESAR, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan memperuntukkan sebanyak hampir RM160,000 untuk kerja penyelenggaraan dan naik taraf Bangunan Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) Beseri, di sini tahun lepas.

Beberapa fasiliti dan bangunan di sekolah tersebut dinaik taraf dengan peruntukan kerajaan hampir RM 160,000
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, berkata peruntukan itu adalah Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Selenggara dan Naik Taraf Institusi Pendidikan Islam (IPI) di seluruh Malaysia.
“Saya mengharapkan dengan segala penambahbaikan ini para guru dan pelajar dapat mengajar dan belajar dalam suasana yang penuh selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat institusi berkenaan, di sini semalam.
Beliau berkata lawatan kerja itu bertujuan meninjau pelaksanaan peruntukan khas kerajaan Persekutuan kepada institusi pendidikan Islam serta melihat sendiri perkembangan projek selenggara dan naik taraf kemudahan bagi memastikan ekosistem pendidikan Islam terus diperkasa dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Turut diadakan lawatan ke beberapa fasiliti MATRI Beseri yang dinaik taraf
Tambahnya lagi, pada tahun lalu kerajaan telah memperuntukkan RM150 juta kepada 1,600 sekolah agama di seluruh negara, manakala tambahan RM50 juta disalurkan pada tahun ini, menjadikan keseluruhan peruntukan berjumlah RM200 juta bagi tujuan menaik taraf sekolah-sekolah agama.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohd Ajib Ismail.
-AA-





