Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Legasi Tiga Dekad, Nasi Kandar Pak Nik Terus Jadi Pilihan

By 3 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Syuhada Muhamad/Lyana Athirah Mohd Saad (Pokok Sena)

LANGGAR, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Kedai Nasi Kandar Melayu Pak Nik, sebuah premis ikonik yang beroperasi sejak tahun 1992, terus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi sarapan utama bagi penduduk setempat di sini melalui keunikan resipi warisan Melayu yang dikekalkan selama 34 tahun.

Nik Mohd Hafiz sedang melayan pelanggan

Premis yang kini beroperasi di Kompleks Perniagaan Langgar itu bermula sebagai gerai kecil di hadapan Pejabat Pos Langgar selama 15 tahun sebelum berpindah ke lokasi semasa bagi memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat.

Menurut anak pengusaha premis tersebut, Nik Mohd Hafiz Nik Halim, 32, kekuatan utama kedai tersebut terletak pada identiti masakannya yang mempunyai perbezaan ketara berbanding nasi kandar konvensional.

“Keunikan Kedai Nasi Kandar Melayu Pak Nik terletak pada menu dan gaya masakan kami yang berbeza daripada kebanyakan kedai nasi kandar lain.

“Menu istimewa kedai ini adalah gulai perut dan juga sambal ikan bilis, iaitu hidangan yang jarang ditemui di kedai nasi kandar lain,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.

Anatar menu istimewa yang ada di sini ialah gulai perut

Kombinasi resipi turun-temurun dan konsistensi rasa menjadikan kedai ini bukan sekadar lokasi santapan, malah simbol kelestarian perniagaan keluarga dalam mengekalkan warisan masakan tempatan.

Lebih menarik, Kedai Nasi Kandar Pak Nik juga menyediakan laksa goreng, satu hidangan unik yang menambah kepelbagaian pilihan kepada pelanggan.

Impak daripada kualiti yang terjaga selama lebih tiga dekad ini membuktikan bahawa masakan tradisional yang mempunyai identiti tersendiri mampu terus relevan dan kekal menjadi pilihan utama dalam mendepani persaingan industri makanan masa kini.

-AA-

Tinggalkan komen anda