Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Majlis Hi-Tea APM Baling Erat Silaturahim, Hargai Sumbangan Rakan Strategik

By 3 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)

BALING, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling telah menganjurkan Majlis Hi-Tea bagi meraikan warga APM Baling serta para penyumbang luar sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang diberikan, bertempat di Dima Garden, Kuala Ketil, di sini, kelmarin.

Penerima Sijil Penghargaan dari Pengarah APM Kedah, Sam Sit Charit

Majlis yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni itu bertujuan menghargai pencapaian warga APM Baling sepanjang tahun 2025, di samping mengukuhkan hubungan silaturahim serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara APM, penyumbang luar, badan korporat dan agensi kerajaan bagi memastikan kelangsungan serta keberkesanan pelaksanaan program pada masa hadapan.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah Pertahanan Awam Negeri Kedah, Lt. Kol. (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik yang menzahirkan penghargaan serta ucapan tahniah atas komitmen dan dedikasi warga APM Baling dalam menyumbang perkhidmatan kepada masyarakat setempat, selain menegaskan bahawa penglibatan aktif anggota APM bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan dan fungsi APM di peringkat daerah.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Baling, Lt. (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata majlis Hi-Tea tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada warga APM Baling dan para penyumbang yang sentiasa memberikan sokongan berterusan terhadap setiap program dan aktiviti yang dilaksanakan.

Antara tetamu yang hadir

“Pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis ini, termasuk sukarelawan, penyumbang makanan serta pihak pengurusan Dima Garden yang menyediakan kemudahan dengan baik,” katanya.

Penganjuran majlis ini menjadi platform untuk bertukar pandangan, berkongsi idea serta membina jaringan kerjasama yang lebih kukuh serta berperanan sebagai medium memperluas jaringan strategik dan menyuntik inspirasi kepada warga APM untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesionalisme demi kesejahteraan masyarakat.

-AA-

Tinggalkan komen anda