
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)
HULU TERENGGANU, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Kanser serviks merupakan kanser keenam tertinggi dalam kalangan wanita di Malaysia, kata Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dato’ Abdul Shukur Abdullah.
Beliau berkata bagaimanapun ujian Asid Deoksiribonukleik Virus Papiloma Manusia (HPV DNA) merupakan kaedah pengesanan awal yang berkesan kerana mampu mengesan jangkitan virus HPV sebelum menjadi sel pra-kanser atau kanser.
“Pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa selari dengan kempen ‘Cepat Tahu, Cepat Tindak’ sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan Wanita,” katanya ketika merasmikan sambutan di Dewan Serbaguna Residensi TNB, Hulu Terengganu, Sabtu lepas.
Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 Peringkat Negeri Terengganu menekankan bahawa kanser serviks merupakan penyakit yang boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan lebih awal melalui pelaksanaan saringan secara berkala.
Beliau berkata pelaksanaan saringan HPV DNA kini difokuskan melalui pendekatan Pemerkasaan Komuniti melalui Duta Etnik dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan bagi menggalakkan penyertaan wanita, khususnya dalam kalangan komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman.
Abdul Shukur berkata kerjasama strategik bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) melibatkan penyertaan wanita Etnik Orang Asli Semaq Beri di Hulu Terengganu mislanya membantu penyampaian mesej kesihatan melalui bahasa dan dialek tempatan.
-FN





