Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Tangga 288 Jadi Tumpuan Riadah Penduduk Klian Intan

By 3 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Tangga 288 di Klian Intan kini menjadi lokasi kegemaran penduduk setempat bagi menjalankan aktiviti riadah dan kecergasan, terutamanya pada waktu pagi dan petang.

Selain aktiviti beriadah, lokasi ini juga sesuai buat penggemar fotografi

Bukan sekadar laluan penghubung perkampungan, infrastruktur yang mempunyai 288 anak tangga ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat untuk aktiviti berjalan kaki, senaman ringan, serta latihan fizikal.

Laluan tersebut dibina bagi menghubungkan kawasan kampung utama dengan kawasan tinggi yang menempatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Li.

Seorang pengunjung, Syahirah Johari, 28, berkata lokasi tersebut menawarkan suasana tenang dan udara segar, selain pemandangan kampung yang mendamaikan untuk beriadah bersama keluarga.

Penduduk setempat melakukan aktiviti riadah dan kecergasan

“Keunikan Tangga 288 yang mencabar fizikal turut menarik minat pengunjung luar, khususnya penggemar aktiviti luar dan senaman berkonsepkan alam semula jadi,” katanya ketika ditemu ramah, di sini hari ini.

Beliau turut berharap agar kemudahan di sekitar kawasan tersebut terus dipelihara dan ditambah baik bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna.

“Tangga 288 bukan sahaja mercu tanda tempatan, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu di Pengkalan Hulu jika dikomersialkan dengan baik,” tambahnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda