
Laporan/foto: Ali Imran (Jerantut)
JERANTUT, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) terus memperkukuh komitmen sosialnya melalui program penyerahan bantuan pendidikan kepada 50 orang murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut, di sini, hari ini.

Timbalan Pengerusi Yayasan KOSMA, Datuk Mohd Sabri Abdullah ketika berucap pada majlis tersebut
Bantuan ini adalah bagi membantu meringankan beban kos sara hidup keluarga berpendapatan rendah, sekali gus memastikan kelangsungan sesi pembelajaran murid-murid terlibat.
Timbalan Pengerusi Yayasan KOSMA Dato’ Mohd Sabri Abdullah dalam ucapannya menekankan bahawa pelaburan modal insan melalui pendidikan adalah teras utama agenda Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yayasan tersebut.
“Kami di Yayasan KOSMA percaya bahawa setiap anak-anak mempunyai hak untuk belajar dalam keadaan yang selesa.
“Sumbangan kepada 50 orang murid ini bukan sekadar bantuan material, tetapi simbol sokongan kami agar mereka terus bersemangat mengejar cita-cita tanpa merasa terpinggir,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Guru Besar SK Jerantut, Muhammad Faiz Mahayudin (dua dari kiri) bergambar bersama seorang penerima setelah menyampaikan bantuan dari Yayasan KOSMA
Sementara itu, Guru Besar SK Jerantut, Muhammad Faiz Mahayudin menyatakan penghargaan kepada pihak yayasan atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap warga sekolahnya.
“Pihak sekolah amat berbesar hati dengan kunjungan dan bantuan daripada Yayasan KOSMA. Ini membuktikan pihak korporat sangat prihatin dengan kebajikan murid khususnya di kawasan luar bandar. Bantuan ini pastinya memberikan senyuman buat mereka semua,” katanya.
Majlis turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KOSMA, Ibrahim Kamarudin serta Ketua Pegawai Eksekutif, Hazran Abdul Halim.
-AA-





