
Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kota Setar)
ALOR SETAR, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Sempena Nisfu Syaaban Peringkat Negeri Kedah di Masjid Zahir, di sini malam tadi.

Majlis turut dihadiri oleh barisan kepimpinan negeri, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, serta tokoh agama tempatan yang bersama-sama mengimarahkan suasana di ruang solat utama Masjid Negeri
Keberangkatan Baginda itu mencerminkan sekongan institusi diraja terhadap penganjuran program keagamaan yang berupaya memupuk penghayatan nilai-nilai keagamaan dalam kalangan umat Islam di negeri berkenaan.
Seorang jemaah, Mohd Afiq Ahmad, 35, berkata beliau berasa bangga dan terharu dengan keberangkatan Raja Muda Kedah yang disifatkan sebagai tanda keprihatinan baginda terhadap usaha memperkukuh pengisian rohani masyarakat.
“Kehadiran baginda memberi suntikan semangat kepada kami untuk terus menghadiri majlis ilmu dan program keagamaan seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Raja Muda Kedah meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni kanak-kanak serta jemaah yang hadir, mencerminkan keperibadian baginda yang dekat di hati rakyat
Menurut Mohd Afiq, penganjuran Majlis Bacaan Yasin dan Doa sempena Nisfu Syaaban bukan sahaja menghidupkan suasana ibadah, malah berperanan menyatukan umat Islam serta memberi ruang kepada masyarakat meningkatkan amalan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Penganjuran majlis seperti ini amat baik kerana dapat menyatukan umat Islam dan memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan amalan serta mendekatkan diri kepada Allah,” ujarnya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Sahibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang serta Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Seri Norizan Khazali, selain pegawai-pegawai kerajaan negeri dan masyarakat setempat.
-AA-





