
Laporan/foto: Muhamad Haizir/Sobri Manan (Langkawi)
LANGKAWI, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Fenomena laut terbelah atau sandbar walk yang berlaku di Pantai Tanjung Rhu berjaya menarik hampir 2,500 pengunjung seawal jam 6.30 pagi hari ini, sekali gus memperkukuh tarikan pelancongan Langkawi sempena Tahun Melawat Malaysia menerusi penganjuran program tahunan hasil kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Tanjung Rhu Resort.

Anggota bomba bersiap sedia bagi tujuan keselamatan pengunjung
Fenomena alam semula jadi yang hanya berlaku sekali setahun itu memberi peluang kepada pelancong dan penduduk tempatan untuk berjalan kaki di atas beting pasir yang muncul ketika air laut surut, menghubungkan Pantai Tanjung Rhu dengan Pulau Penyu, Pulau Kelam Baya dan Pulau Cabang.
Sepanjang laluan tersebut, pengunjung dapat menyaksikan dengan jelas keindahan hidupan laut di dasar laut yang cetek, sekali gus menawarkan pengalaman fizikal dan visual yang unik serta jarang ditemui di destinasi pelancongan lain.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perancangan dan Pembangunan LADA Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, berkata program berkenaan merupakan acara tahunan yang berupaya menarik kehadiran pelancong ke Langkawi, khususnya dalam menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia.
“Penganjuran program ini bukan sahaja menonjolkan keunikan alam semula jadi Langkawi, malah menjadi platform penting untuk mempromosikan pulau ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan sentiasa diperkukuhkan bagi memastikan aspek keselamatan pengunjung sentiasa diutamakan sepanjang program berlangsung, termasuk pemantauan keadaan laut dan kawalan pergerakan pengunjung.

Taklimat keselamatan sebelum pelepasan peserta
Tambah beliau, Langkawi amat bertuah kerana dikurniakan keunikan alam semula jadi seperti fenomena laut terbelah yang bukan sahaja mempesona, malah memberi nilai tambah yang signifikan kepada industri pelancongan negara.
Dalam pada itu, LADA berharap penganjuran program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti berkaitan pelancongan, sekali gus menikmati limpahan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Program ini secara keseluruhan mencerminkan komitmen berterusan dalam memelihara khazanah alam sambil memacu pembangunan pelancongan lestari, selari dengan aspirasi menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara.
-AA-





