
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/UKAS
SRI AMAN, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Lebih 300 jemaah mengimarahkan Majlis Bacaan Surah Yasin sempena malam Nisfu Syaaban yang berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman, di sini semalam.
Majlis yang bermula sejurus selesai solat Maghrib itu dipimpin Imam Satu Masjid Bandar Sri Aman Mohd Fadli Nurudin dengan penyertaan jemaah terdiri daripada penduduk setempat dan kariah masjid.

Mohd Fadli Nurudin memimpin Majlis Bacaan Surah Yasin sempena Malam Nisfu Syaaban di Masjid Bandar Sri Aman.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman Azmi Morshidi bersama ahli-ahli jawatankuasa masjid.
Menurut Azmi, malam Nisfu Syaaban merupakan kesempatan terbaik untuk umat Islam memperbanyakkan ibadah serta bermuhasabah diri sebagai persediaan rohani menjelang Ramadan.
“Pada malam yang penuh keberkatan ini, marilah kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan seperti berzikir dan berdoa agar dikurniakan keampunan serta ketenangan dalam setiap urusan,” katanya.

Jemaah yang turut serta dalam majlis Bacaan Yaasin di sini semalam.
Beliau berkata Ramadan yang bakal tiba perlu disambut dengan azam untuk meningkatkan mutu ibadah dan memperbaiki amalan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kita akan kembali menjalani madrasah Ramadan dengan cita-cita agar amalan kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.
Tambah beliau, amalan ibadah yang dilakukan secara istiqamah bukan sahaja menenangkan jiwa malah dapat membersihkan hati daripada sifat negatif seperti hasad dengki yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
-RJ-





