
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Simanggang terus memainkan peranan aktif dalam memperkasa agenda kebajikan dan pembangunan komuniti di daerah ini.
Ahli Parlimen Sri Aman Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata pertubuhan yang ditubuhkan sejak 1998 itu konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi membantu golongan memerlukan bukan sahaja di Bahagian Sri Aman malah turut meliputi kawasan Betong.

Doris Sophia Brodie (tengah) merakamkan kenangan bersama ahli jawatankuasa dan sukarelawan Pertubuhan Chee Chuan Khor Simanggang yang aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan merentas kaum dan agama di daerah Sri Aman.
Menurutnya, antara program utama yang dilaksanakan termasuk penganjuran Majlis Sejambak Kasih, penyediaan peralatan perubatan serta sumbangan makanan kepada keluarga kurang berkemampuan.
“Saya akan terus menyokong inisiatif seperti ini kerana kebajikan rakyat merupakan tanggungjawab bersama. Usaha pertubuhan ini wajar dicontohi dalam membina masyarakat yang lebih prihatin, bersatu padu dan sejahtera,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke bangunan pertubuhan itu, kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman Kr Anthony Abell Chendan; Temenggong Kueh Aik Seng; Temenggong Leonard Libau Anol serta ahli jawatankuasa pertubuhan.
-RJ-





