
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)/UKAS
SRI AMAN, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Bahagian Sri Aman menjadi antara lokasi penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang bermula semalam, dengan pihak penganjur berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan kelancaran temasya sukan berkenaan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur SUKSAR IV 2026 Dato Gerald Rentap Jabu berkata tahap kesiapsiagaan berada pada landasan tepat hasil kerjasama semua agensi terlibat.

Gerald (tengah) meninjau persiapan akhir padang sofbol di Kompleks Sukan Sri Aman ketika lawatan kerja bagi memastikan kesiapsiagaan tempat SUKSAR IV 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 8 Februari ini.
“Secara keseluruhan, persiapan di Sri Aman berada dalam keadaan memuaskan dan terkawal. Fokus utama kita adalah memastikan keselamatan atlet, pegawai dan penonton sentiasa terjamin, di samping memastikan kelancaran penganjuran setiap acara,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke lokasi SUKSAR IV 2026, di sini kelmarin.
Gerald meninjau Stadium Tertutup Sri Aman yang menjadi lokasi pertandingan tinju bermula semalam hingga esok serta Majlis Penutupan, Ahad ini yang akan disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.
Beliau turut melawat Padang Kompleks Sukan Sri Aman yang menjadi gelanggang acara sofbol bermula hari ini hingga 8 Feb.
Sebagai rekod, Sri Aman dan Betong dipilih sebagai tuan rumah bersama SUKSAR IV 2026 yang menghimpunkan lebih 1,000 atlet dari Zon Selatan, Zon Barat, Zon Tengah dan Zon Utara Sarawak membabitkan 11 jenis sukan.
-RJ-





