Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Terengganu Letak Sasaran Tiga Terbaik SUKMA XXII Selangor 2026

By 5 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatihayatul Sadi/Amiruddin Adli

KUALA NERUS, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Terengganu menyasarkan sekurang-kurangnya kedudukan tiga terbaik keseluruhan kontinjen pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Ahmad Shahrizal ketika ditemui media pada Majlis Pelantikan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat Sukan dan Jabatan Angkat Sukan Kontinjen Terengganu

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ahmad Shahrizal Yahaya berkata sasaran tersebut ditetapkan oleh kerajaan negeri kepada Majlis Sukan Negeri sebagai tanda keyakinan terhadap tahap persiapan dan potensi atlet negeri itu.

“Kerajaan negeri telah menetapkan sasaran untuk kontinjen Terengganu mencapai sekurang-kurangnya kedudukan tiga terbaik keseluruhan. Dari segi jumlah pingat pula, buat masa ini kita masih dalam proses mengenal pasti sasaran yang realistik berdasarkan kekuatan setiap sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat Sukan dan Jabatan Angkat Sukan Kontinjen Terengganu sempena Temasya SUKMA XXII Selangor 2026 di Dewan Utama, Ar Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam.

Suasana Majlis Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat Sukan dan Jabatan Angkat Sukan Kontinjen Terengganu sempena Temasya SUKMA XXII Selangor 2026

Temasya SUKMA XXII Selangor 2026 dijadualkan berlangsung di sembilan daerah di Selangor serta daerah Nilai, Negeri Sembilan melibatkan 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, penyertaan kontinjen Terengganu hanya melibatkan 35 jenis sukan, selaras perancangan strategik dan kekuatan semasa atlet negeri.

-AA-

Tinggalkan komen anda