
Laporan/foto: Noor Faeizah Ahamad/Nor Asmawati Abd. Mutalib (Kota Setar)
ALOR SETAR, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Unit Pendidikan, Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah (PDIK) di bawah seliaan Yayasan Islam Negeri Kedah terus memainkan peranan penting sebagai pusat penyebaran ilmu dan aktiviti keagamaan kepada masyarakat setempat, khususnya mereka yang bekerja dan menetap di sekitar kawasan bandar.

Kelas Mengaji al-Quran Dewasa yang diadakan secara berkala di PDIK terus mendapat sambutan daripada masyarakat setempat
Terletak strategik di tengah pusat bandar, PDIK menjadi lokasi tumpuan komuniti untuk mendapatkan bimbingan agama serta mengikuti pelbagai program pembangunan rohani.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk ruang solat luas untuk lelaki dan wanita, dewan serbaguna, Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ruang kedai, kawasan parkir kenderaan serta tempat rehat untuk pengunjung.
Menurut Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam PDIK, Wafir Tusop pusat dakwah ini menganjurkan pelbagai kelas dan kursus secara berterusan antaranya kelas al-Quran dewasa harian, kelas persijilan al-Quran, persijilan fardu ain, kelas KAFA serta pembelajaran Jawi.
“Setakat ini, sambutan terhadap setiap program amat menggalakkan bukan sahaja daripada masyarakat setempat, malah turut disertai oleh agensi dan jabatan kerajaan di sekitar bandar,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
PDIK turut menganjurkan program kebajikan dan kemasyarakatan seperti penyediaan bubur lambuk Ramadan setiap Isnin dan Rabu secara gotong-royong, majlis berbuka puasa serta iftar jama’ie sepanjang bulan Ramadan.

Ruang solat utama PDIK yang luas menyediakan keselesaan serta mampu memuatkan kehadiran jemaah dalam jumlah yang ramai
Menariknya, pusat ini turut menganjurkan kelas KAFA khusus kepada golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual) sebagai usaha dakwah dan bimbingan berterusan dengan penyertaan hampir 40 orang pada setiap hari Jumaat.
Ia bertujuan memberi sokongan rohani serta membimbing peserta ke arah pembentukan jati diri dan kehidupan yang lebih sejahtera berlandaskan ajaran Islam.
Selain itu, PDIK turut menganjurkan pelbagai aktiviti lain termasuk Akademi Tarannum, Majlis Tafaqquh Kitab, kursus perkahwinan, seminar fiqh wanita, program sembelihan, ibadah korban, bubur asyura, seminar bicara ilmu, Festival Maulidur Rasul, khatan perdana serta kem cuti sekolah.
“Harapan kami agar PDIK terus menjadi pilihan utama masyarakat untuk mendapatkan ilmu agama dan menjadi pusat pembinaan ummah yang berterusan,” ujarnya.
-AA-





