
Laporan/foto: Siti Afiqah (Matu)
MATU, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Pembukaan Jambatan Igan dijangka merancakkan ekonomi penjaja kecil di Kampung Igan apabila akses yang lebih mudah akan membuka peluang kemasukan pengunjung dan pasaran baharu.
Peniaga Medan Selera Igan merangkap Pengerusi Penjaja dan Usahawan Igan Isna Wahida Adeni berkata kemudahan tersebut memberi impak langsung kepada waktu operasi dan potensi jualan.

Isna berkongsi pandangan mengenai impak pembukaan Jambatan Igan terhadap operasi dan potensi jualan penjaja Medan Selera Igan di Kampung Igan.
“Sebelum ini, Medan Selera Igan beroperasi dari 7 pagi hingga 8 malam. Selepas jambatan dibuka, gerai makan dijangka boleh beroperasi sehingga 11 malam,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.
Menurut Isna Wahida, pembukaan jambatan turut membolehkan produk tempatan seperti kraftangan, hasil laut dan barangan pertanian dipasarkan ke kawasan Matu, Daro dan sekitarnya tanpa perlu bergantung kepada perkhidmatan feri.
“Selama ini, kebanyakan produk Igan hanya dipasarkan ke Mukah. Kini pasaran lebih luas dan memudahkan urusan penghantaran,” katanya.

Hasniah ketika ditemu bual di Kampung Igan semalam mengenai impak pembukaan Jambatan Igan terhadap peningkatan kehadiran pengunjung dan potensi jualan penjaja kecil.
Sementara itu, penjaja kecil Hasniah Kari, 53, berkata kemudahan tersebut memudahkan pengunjung datang ke Kampung Igan sekali gus meningkatkan potensi jualan peniaga.
Pembukaan Jambatan Igan dilihat bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam sektor perniagaan kecil dan pelancongan.
-RJ-





