
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)
ALOR SETAR, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Qari Kubang Pasu, Nurfikri Md Shahidan dan qariah Yan, Nuradilah Azdi masing-masing dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran Negeri Kedah yang menutup tirai, semalam.

Johan Qariah wakil dari daerah Yan
Kedua-dua mereka dipilih sebagai johan selepas memungut markah keseluruhan 85.25 peratus dan 85 peratus pada Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2026M/1447H di Raia Hotel & Convention Centre, di sini.
Kedua-dua pemenang menerima Piala Pusingan Limpah Kurnia Sultan Negeri Kedah, sijil penghargaan, wang tunai RM10,000 dan akan mewakili Kedah ke Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Terengganu, April ini.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Seri Norizan Khazali dalam ucapannya berkata al-Quran sentiasa membuka ruang rahmat dan peluang kepada umat Islam yang istiqamah dalam penghayatan serta pengamalannya.
“Al-Quran adalah cahaya yang menerangi kegelapan dan membimbing insan menuju jalan kebenaran. Setiap ayatnya perlu dibaca dengan tertib agar mampu menyentuh hati serta menyemai rasa kehambaan kepada Allah SWT,” katanya.

Antara para peserta yang terlibat pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah
Beliau berkata Kedah terus mencatat kecemerlangan dalam bidang al-Quran termasuk merangkul Johan Keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 dengan penyertaan tahun ini meningkat 10 peratus.
“Seramai 172 peserta menyertai kategori hafazan al-Quran manakala 56 peserta mengambil bahagian dalam kategori tilawah. Daripada jumlah itu, 14 peserta tilawah dan 30 peserta hafazan telah berjaya melayakkan diri ke peringkat negeri,” katanya.
Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah,Zubir Ahmad, Mufti Negeri Kedah Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri Dato’ Mohd Azam Abd Samat.
-AA-





