
Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri (Timur Laut)
GEORGE TOWN, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Sebuah kenderaan bersejarah, Cadillac Fleetwood 75 keluaran 1967 yang sarat nilai patriotisme dan pernah menjadi kereta rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang pertama, menjadi tumpuan utama pengunjung di Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang apabila dipamerkan kepada umum, di sini semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (duduk) hadir merasmikan galeri ini
Kenderaan seberat 2.4 tan itu juga merupakan kereta rasmi kedua Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, menggantikan kereta Rolls-Royce Silver Wraith 1951.
Menurut Pengarah Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad, Rolls-Royce Silver Wraith 1951 telah dibawa ke Kuala Lumpur untuk menjalani proses pemulihan menyeluruh bagi mengembalikannya kepada keadaan asal sebelum dipamerkan kepada orang ramai kelak.
Beliau berkata pihak muzium turut giat melaksanakan promosi melalui platform media sosial rasmi Muzium Negeri Pulau Pinang sebagai usaha memperkasa pendidikan sejarah dan menarik minat pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pengarah Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad memberikan perkongsian ringkas pengoperasian galeri ini kepada tetamu kehormat
“Galeri Automotif ini dibuka kepada umum setiap hari kecuali hari Jumaat dan Hari Kelepasan Am dari 9 pagi hingga 5 petang. Kami juga bersedia untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak yang ingin mempamerkan koleksi klasik mereka.
“Saya menyeru kepada semua pengunjung untuk tidak melepaskan peluang ini kerana tiket masuk adalah percuma sehingga Mei 2026,” katanya.
Seorang pengunjung, Mohd Yuswandi Mohd Rosli, 38, mengakui teruja dengan koleksi kenderaan yang dipamerkan kerana semuanya mempunyai kenangan dan nilai sejarah yang tersendiri.
“Sebelum ini kita mungkin kurang pengetahuan tentang pengangkutan awam tradisional yang wujud namun di sini kita dapat melihat pelbagai jenis kenderaan seperti lanca, basikal kereta kuda dan funikular Bukit Bendera,” katanya.
Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang terletak di Bangunan No. 57, Jalan Macalister, George Town, yang merupakan tapak bekas Hospital Bersalin King Edward yang beroperasi dari tahun 1915 hingga 1955.
-AA-





