
Laporan/foto: Mohammad Hafizee (Kuala Lumpur)/Kementerian Ekonomi
KUALA LUMPUR, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Forum Ekonomi Malaysia (FEM 2026) edisi kedua bertemakan Mempercepat Pertumbuhan, Memajukan Malaysia telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini semalam.
Forum yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin perniagaan, pakar industri, pelabur serta orang awam itu berfungsi sebagai platform utama negara untuk dialog strategik ke arah peralihan Malaysia dalam menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi melalui pemerkasaan industri Pertumbuhan Tinggi, Nilai Tinggi (HGHV), keterangkuman, kelestarian serta nilai Ekonomi MADANI selaras Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Akmal ketika menyampaikan ucapan
Anwar dalam ucapan perasmiannya berkata FEM kedua ini bukan sekadar mengenai ramalan atau instrumen dasar.
Ia katanya adalah tentang tanggungjawab untuk mentadbir dengan integriti, melakukan reformasi dengan keberanian, dan memastikan kemajuan ekonomi membawa makna yang sebenar dan dapat dirasai oleh rakyat.
“Malaysia hari ini berada di landasan yang lebih kukuh. KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita dijangka berkembang sekitar 4.9 peratus pada tahun 2025, manakala inflasi kekal terkawal pada 1.6 peratus.
“Keyakinan pelabur semakin pulih. Ini merupakan petanda yang menggalakkan, mencerminkan pengurusan fiskal yang berdisiplin serta kesungguhan baharu dalam tadbir urus,” katanya.
Sementara itu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah berkata tahun ini amat penting sebagai permulaan pelaksanaan RMK-13, justeru tindakan kolektif melalui pendekatan kolaboratif akan digerakkan bagi memastikan keberkesanannya.

Antara forum yang telah diadakan
“Walaupun Malaysia terus mencatat pertumbuhan yang stabil di sebalik ketidaktentuan perdagangan dan ketegangan geopolitik, kami kekal berwaspada terhadap cabaran mendatang,” katanya.
FEM 2026 memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang membentuk masa depan negara, termasuk merealisasikan aspirasi Dibuat oleh Malaysia, dasar fiskal dan monetari, perdagangan, pelaburan dan pengembangan pasaran global.
Selain itu, ia turut menumpukan kepada aspirasi negara berteraskan AI (kecerdasan buatan), kelestarian dan peralihan tenaga, bakat masa hadapan, reformasi perumahan, reformasi penjagaan kesihatan serta kesiapsiagaan menghadapi populasi menua.
Setiap panel perbincangan akan meneliti kemajuan, strategi dan inisiatif pelbagai pelan tindakan nasional utama termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu, Strategi Semikonduktor Negara, Pelan Pendidikan Negara yang baru dilancarkan serta Pelan Tindakan AI Negara yang akan datang.
-AA-





