
Laporan/foto: Nur Farhana Azman/Muhammad Zarul Afify
JASIN, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 175 orang penerima menerima sumbangan sempena Perayaan Tahun Baharu Cina pada Majlis Penyampaian Sumbangan Peringkat Parlimen Jasin yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Lipat Kajang, di sini semalam.

Khaidhirah menyantuni penerima sumbangan Perayaan Tahun Baharu Cina
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Menurut Khaidhirah, sumbangan berkenaan merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan memerlukan, khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta ibu tunggal yang mempunyai tanggungan di kawasan Parlimen Jasin.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka serta semua agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan program yang penuh bermakna ini. Semoga kerjasama yang terjalin dapat diteruskan dan diperkukuhkan pada masa akan datang,” katanya.

Sesi bergambar bersama 175 orang penerima sumbangan
Beliau turut berharap agar sumbangan yang disalurkan dapat membantu meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut Perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.
“Semoga perayaan kali ini membawa kegembiraan, kenangan indah dan pengalaman bermakna bersama keluarga tercinta,” tambahnya.
-AA-





