Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

MAIK Agih RM128 Ribu Fidyah Kepada 320 Golongan Fakir Miskin

By 6 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)

ALOR SETAR, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menyalurkan agihan fidyah berjumlah RM128,000 kepada 320 penerima daripada golongan fakir miskin menerusi Majlis Pengurniaan Agihan Fidyah MAIK Tahun 2026, di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Seri Norizan Khazali (kiri)

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang juga Yang Dipertua MAIK, bertitah agihan fidyah berkenaan disalurkan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas bagi membantu meringankan beban hidup golongan yang memerlukan.

“Agihan fidyah ini bukan sekadar bantuan kebajikan, malah merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah. Kita perlulah menjaga kebajikan golongan ini di samping menyemai sifat tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat,” titah baginda.

Pada majlis tersebut, MAIK turut menyalurkan bantuan khas kepada golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk pemberian dua buah motosikal OKU bagi memudahkan urusan harian dan meningkatkan mobiliti penerima, selaras dengan usaha memperkasa kualiti hidup golongan rentan.

Suriani Sulaiman (kiri) bersyukur dengan pemberian motosikal OKU

Sementara itu, seorang penerima, Nur Awanis Yahaya, 35, yang juga OKU fizikal melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diterima.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih, bantuan ini sangat bermakna dan sedikit sebanyak membantu keperluan harian saya,” katanya.

Seorang lagi penerima, Suriani Sulaiman, 45, yang turut menerima bantuan sebuah motosikal OKU, berkata bantuan tersebut memberi impak besar kepada kehidupannya.

“Saya tidak sangka akan menerima motosikal ini. Ia sangat membantu pergerakan saya dan memudahkan urusan harian,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda